Berita SMVK
(Jilid 2 1990)
Asrama Putera
Lompat pagar- satu tabiat yang popular masa kini. Tabiat ini bukanlah suatu amalan yang biasa tapi luar biasa. Ini adalah kerana lompat pagar ini bukanlah acara olahraga lompat pagar yang biasa tapi merupakan acara melompat pagar sekolah/asrama untuk keluar dari kawasan sekolah tanpa kebenaran.
Perkara ini dipandang berat oleh pihak pentadbir asrama. Sesiapa yang didapati melakukan kesalahan ini boleh dikenakan hukuman seperti gantung asrama/sekolah atau dibuang dari asrama.Tindakan buang sekolah juga boleh diambil terhadap pelajar sekiranya ia didapati terlalu serius. Sehingga kini terdapat ramai pelajar sessi 89/90 yang telah dikenakan tindakan ini.
Satu persoalan yang timbul mengapakah mereka melompat pagar? Persoalan ini telah dijelaskan kepada pemberita oleh seorang pelajar yang menurutnya pernah melompat pagar dan beberapa kali ditangkap kerana kesalahan itu. Katanya "saya lompat pagar kerana saya rasa bosan tinggal di asrama ini. Ini kerana saya rasa terkongkong dan saya rasa seperti dipaksa mematuhi segala undang-undang asrama. Lagi pun jika kita pernah melakukan satu kes,pengawas akan terus mengecop kami sebagai "orang jahat".
Sekarang pelajar tersebut telah pun tinggal di luar dan menurutnya hilanglah segala rasa gelisahnya. Mungkin benar kata pelajar tersebut. Mungkin juga itulah sebabnya mereka melakukan kesalahan lompat pagar. Asrama putera sekarang telah kehilangan ramai pelajar puteranya. Ramai yang telah tinggal di luar SMVK kini. Kini berakhirlah status sekolah berasrama penuh seperti dahulu.
Diharap agar pelajar putera yang tinggal di asrama tidak mencontohi pelajar putera yang melakukan kesalahan lompat pagar walaupun merasa dirinya terkongkong demi menjaga status sebagai seorang pelajar yang berwibawa.
*******************************************************************
Perhatian!!!!!
Kepada sesiapa yang memelihara ayam-ayam, awasilah ayam-ayam anda sebelum dikebas si musang berkepala hitam yang sedang kebuluran!